Memulakan Pelaburan

Bila tengok filem Hollywood pasal pelaburan, mesti kita lihat babak yang hiruk pikuk dan skrin carta saham sana sini. Sebenarnya melabur tidak perlu begitu. Malah boleh dikatakan melabur adalah satu aktiviti yang membosankan.

Melabur dalam bahasa yang lain, duit bekerja untuk anda. Jika anda masih bekerja keras semasa melabur seperti yang anda tonton dalam filem, itu tandanya anda bukanlah melabur. Kalau anda masih nak rasa suasana sebegitu, maka jadilah pelakon.

Pengurusan Pelaburan

Anda boleh menguruskan pelaburan sendiri atau mendapatkan khidmat profesional. Jalan apa pun yang anda pilih, buat 5 proses pelaburan ini:

1. Menilai kedudukan kewangan semasa terlebih dahulu. Jangan ikut orang. Ini kerana situasi kewangan setiap orang adalah berbeza-beza. Ada yang masih membina simpanan kecemasan. Ada yang mengalami aliran tunai negatif. Ada yang perlu bayar hutang jahat dulu. Bila anda nilai kedudukan kewangan diri sendiri maka lebih mudah untuk tentukan halatuju pelaburan.

2. Menetapkan halatuju atau objektif pelaburan. Ada perkara yang anda mahu capai dalam jangka masa pendek dan ada yang anda mahu capai dalam jangka panjang. Maka pelan pelaburan itu adalah berbeza. Anda tidak boleh melabur dengan cara short term dan menganggapnya itu adalah untuk long term.

3. Menentukan asset allocation. Ini dapat menentukan berapakah jangkaan pulangan pelaburan dan juga bagaimana portfolio pelaburan anda itu ‘bergerak’ sepanjang tempoh pelaburan.

4. Memilih produk pelaburan. Secara umumnya ada 3 kelas aset yang utama iaitu tunai, bon & sukuk dan ekuiti. Namun masih ada lagi pecahan. Bukan semua bon & sukuk itu adalah sama. Saham pun ada perbezaannya. Jadi anda kena tahu produk yang sesuai.

5. Pantau pelaburan dan rebalance bila perlu. Harga pelaburan turun dan naik. Ini menyebabkan asset allocation anda berubah. Maka ketika itu ada perlu rebalance semula.

Pasaran tidak sentiasa bergerak naik ke atas. Pasaran juga bergerak ke bawah. Ada masanya harga jatuh dengan banyak. Membuat 5 proses pelaburan ini bukan bermaksud portfolio anda menjadi kalis rugi. Sebaliknya menjadikan anda lebih berdisiplin, baik ketika pasaran menaik atau menurun. 

Ada tidak perlu panik dan emosi pun lebih stabil sekiranya anda mempunyai perspektif yang betul tentang portfolio pelaburan.

Memilih akaun pelaburan

Anda ada pilihan untuk melabur melalui robo advisor. Servis ini adalah pengurusan pelaburan secara digital. Dan anda tidak berinteraksi dengan manusia. Jika anda baru hendak mula melabur dan modal pun masih rendah, maka ini adalah pilihan yang baik.

Seterusnya, jika anda telah tahu apa yang dimahukan maka boleh lah melabur sendiri secara online. Anda boleh buka akaun dagangan saham dengan mana-mana syarikat broker atau akaun unit trust mahupun mandat sendiri secara online.

Anda mahu belajar lebih tentang sesuatu pelaburan. Maka pergi kelas dahulu. Ada pelbagai topik yang ditawarkan. Ada seminar yang bercerita tentang suasana ekonomi yang luas dan ada yang spesifik kepada produk yang khas.

Jika anda rasa melabur merupakan satu perkara yang sukar, tidak ada masa dan tidak yakin melakukannya sendiri maka anda perlu mendapatkan nasihat kewangan dari individu yang berlesen.

Akaun pelaburan itu ditentukan oleh apa yang anda perlu.