Motivasi utama seseorang itu melabur sudah tentu disebabkan oleh potensi pulangan. Apabila seorang pelabur mendapat pulangan yang menguntungkan itulah ‘buah’ yang diperoleh setelah proses ‘bercucuk tanam’. Pelaburan yang memberikan untung 5% dari 1 ribu ringgit bermaksud pelabur memperoleh 50 ringgit.
Ada pelaburan beri untung tinggi dan ada yang beri untung yang rendah. Potensi untung tinggi atau rendah adalah berbeza mengikut jenis aset. Sebagai contoh, bila anda simpan melabur dalam akaun simpanan tetap di bank atau akaun money market anda akan mendapat untung yang hampir pasti tetapi kadarnya adalah rendah. Kebanyakan pelaburan tiada jaminan mendapat pulangan.
Jenis Pulangan
Keuntungan bukanlah turun dari langit atau duit itu tumbuh di pokok. Ada dua jenis pulangan. Pulangan pertama ialah dalam bentuk pendapatan yang diterima dalam tempoh waktu tertentu seperti faedah, dividen, atau kupon. Kedua ialah apabila harga pelaburan naik.
Pendapatan diberikan dalam bentuk dividen jika anda melabur saham. Disebut kupon jika anda melabur dalam bon & sukuk. Agihan pendapatan jika anda melabur dalam dana sepert unit trust atau ETF. Pendapatan ini dapat diberikan kepada pelabur mengikut tempoh tertentu.
Apabila anda melabur dalam saham X berharga 1 ringgit, dan menerima dividen sebanyak 4 sen. Itu bermaksud anda mendapat keuntungan 4%. Anda letak 1 ribu dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan mendapat agihan pendapatan 5.25 sen / unit bermaksud anda menerima RM 52.50.
Dalam konteks ini perbandingannya adalah durian dengan durian. Pulangan ASB adalah lebih tinggi dari saham X.
Keuntungan modal (capital gain) pula berlaku apabila berlaku kenaikan harga semasa sesuatu pelaburan. Oleh sebab harga juga dapat turun, maka dapat berlaku capital loss juga.
Saham A berharga 50 sen, kemudian berlaku kenaikan sebanyak 6 sen. Maksudnya saham A memberikan keuntungan modal sebanyak 12%. ASB pula tidak ada kenaikan modal. Jadi, membandingkan pelaburan yang mempunyai ciri keuntungan modal dengan pelaburan yang hanya memberikan pendapatan ibarat perbandingan durian dengan pisang.
Untung keseluruhan (total return) pula ialah apabila pulangan pendapatan dicampurkan dengan keuntungan modal. Jadi, andaikan saham Y memberikan dividen sebanyak 8% dan mengalami capital loss sebanyak 5% maka untung keseluruhan pelabur ialah 3%.
Keuntungan lepas (past performance) ialah keuntungan yang sudah pun berlalu dan ia tidaklah mempengaruhi keuntungan masa depan. Namun, keuntungan lepas ini dapat menjadi sedikit sebanyak petunjuk terhadap sesuatu pelaburan.
Pelabur dapat melihat prestasi jangka pendek seperti 3 bulan, 6 bulan atau 1 tahun. Pelabur juga dapat melihat bagaimana prestasi sesuatu pelaburan untuk tempoh yang lebih panjang 3 tahun, 5 tahun, 10 tahun atau lebih.
Jangkaan untung (expected return) pula adalah sesuatu yang tidak pasti dan tidak dapat diteka dengan tepat oleh sesiapa pun. Anda cuma dapat agak-agak sahaja bagaimana sepatutnya ‘perangai’ sesuatu pelaburan itu berdasarkan aset pendasar (underlying asset) yang digunakan.
Harga saham dipengaruhi oleh faktor yang berbeza dibandingkan dengan emas, bitcoin mahupun komoditi lainnya. Malah, perangai saham itu sendiri adalah berbeza-beza mengikut jenis saham.
Begitu juga pelaburan ASB, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Perumpukan aset (asset allocation) yang berbeza menyebabkan agihan pendapatan yang diterima juga adalah tidak sama. Ini kerana tabung-tabung ini melabur walaupun melabur dalam jenis aset yang lebih kurang sama, tetapi peratusannya berbeza.
Secara umumnya ada dua faktor yang mempengaruhi pulangan sesuatu pelaburan. Pertama ialah faktor luaran seperti kadar faedah, inflasi, polisi dagangan, sentimen, kadar pertukaran matawang dan lain-lain. Keduanya ialah faktor aset itu sendiri.
Misalnya unit amanah jenis bon & sukuk. Walaupun secara umumnya dianggap selamat, masih ada risiko rugi yang dihadapi oleh pelabur. Jika projek yang dibiaya oleh bon & sukuk itu menghadapi masalah, maka sudah tentu pulangannya dapat terjejas kerana pengeluarnya tidak dapat membayar kupon tepat pada masanya. Seterusnya menyebabkan pulangan unit amanah itu tadi pun menjadi lebih rendah dari sepatutnya.