Aset Kewangan

Ada 3 jenis aset kewangan asas yang perlu anda tahu.

  1. Aset pendapatan tetap
  2. Ekuiti
  3. Derivatif

Aset Pendapatan Tetap

Melalui aset berpendapatan tetap anda sebagai pelabur dapat memperoleh pendapatan yang berterusan dalam satu tempoh berdasarkan formula tertentu. 

Sebagai contoh, bon & sukuk. Satu syarikat yang menerbitkan sukuk korporat akan membayar pendapatan kepada para pemegang sukuk secara tetap setiap tahun untuk satu tempoh masa. Pembayaran itu disebut sebagai kupon. Bon & sukuk juga dapat diterbitkan oleh pihak kerajaan.

Selagi mana sesebuah syarikat itu tidak gulung tikar atau mempunyai masalah kewangan, maka pemegang bon & sukuk akan memperoleh kupon tersebut pada masa yang dijanjikan. Sama ada syarikat itu untung besar atau untung kecil, tidak mempengaruhi kadar pulangan yang diterima kerana bayaran keuntungannya telah pun ditetapkan.

Aset pendapatan tetap adalah pelbagai. Sebagai contoh money market merujuk kepada aset pendapatan tetap yang mempunyai tempoh yang sangat singkat, mudah dijual beli dan mempunyai risiko yang rendah. Manakala bon & sukuk pula adalah aset berpendapatan tetap yang mempunyai tempoh masa yang panjang.

Kebiasaannya seseorang individu melabur dalam aset pendapatan tetap secara tidak langsung iaitu menerusi dana-dana unit amanah (unit trust) atau exchange traded fund (ETF).

Ekuiti

Ekuiti adalah tuntutan pemilikan dalam sesebuah syarikat. 

Berbeza dengan aset pendapatan tetap, pelabur ekuiti tidak dijanjikan sebarang pendapatan tetap yang berterusan. Sebarang keuntungan yang diperoleh oleh syarikat dipulangkan semula sebahagiannya menerusi bayaran yang disebut sebagai dividen.

Sekiranya perniagaan semakin maju, maka nilai ekuiti juga akan bertambah. Jika perniagaan makin merosot, nilai ekuiti juga berkurangan. Justeru, keuntungan dalam pelaburan ekuiti sangat bergantung kepada prestasi syarikat.

Disebabkan perkara inilah pelaburan ekuiti dianggap lebih berisiko dibandingka dengan aset pendapatan tetap.

Seseorang itu dapat membeli ekuiti secara langsung. Selalunya menerusi pasaran saham. Selain itu, pelabur juga dapat melabur dalam ekuiti secara tidak langsung menerusi dana-dana unit trust atau ETF.

Derivatif

Derivatif adalah kontrak kewangan yang disandarkan kepada aset kewangan atau aset fizikal seperti komoditi. 

Apabila seseorang itu membeli kontrak derivatif, dia belum lagi membeli aset itu sekarang sebaliknya memasuk satu kontrak yang mana anda berjanji untuk membelinya pada masa hadapan.

Pasaran derivatif menjadi lebih kompleks kerana ia bukan sahaja dapat dibeli (long contract) tetapi ia juga dapat dijual dahulu (short contract). Pasaran derivatif adalah pasaran dua hala yang mana pedagang dapat mengambil kesempatan sama ada ketika pasaran menaik mahupun menurun.

Barangkali anda pernah mendengar ada kawan berdagang dalam pasaran hadapan minyak kelapa sawit mentah atau juga dikenali sebagai FCPO. Maka itulah contoh pasaran derivatif. FCPO adalah contoh derivatif yang disandarkan kepada komoditi.

Selain pasaran hadapan (futures market), derivatif juga merangkumi options, warrant, swap dan juga contract for differences (CFD).

Pasaran derivatif melibatkan margin yang mana dalam bahasa yang mudahnya ia adalah “duit pinjam” justeru dagangan derivatif membabitkan leverage. Inilah yang menjadikan pasaran derivatif menjadi sangat berisiko kerana selain dapat memberikan keuntungan besar dalam masa singkat, seseorang itu juga dapat mengalami kerugian besar dalam tempoh masa yang sama.