Apa Itu Pelaburan

Melabur ialah menangguhkan perbelanjaan hari ini supaya dapat berbelanja lebih pada masa hadapan.

Dalam perancangan kewangan, pendekatannya adalah lebih ketat iaitu pulangan pelaburan mesti lebih dari kadar inflasi. Jika inflasi adalah 3% maka duit simpanan perlu berkembang lebih dari 3%. Jadi pelaburan dibuat bertujuan supaya kuasa membeli bertambah dan bukan sekadar ‘sudah melabur’.

Dari maksud pelaburan di atas dapat juga difahami risiko bukanlah nilai pelaburan turun dan naik dalam jangka masa pendek tetapi risiko sebenar yang dihadapi oleh individu ialah duit simpanan persaraan sudah habis tetapi seseorang itu masih perlu terus hidup.

Ada pelbagai jenis aset pelaburan yang dapat dipilih. Mula-mula sekali saya terangkan aset dapat dipecahkan kepada 2 kategori umum.

  1. Aset fizikal
  2. Aset kewangan

Aset fizikal vs aset kewangan

Anda dapat membeli aset-aset fizikal seperti hartanah, ruang pejabat, kilang, mesin, tanah pertanian, tanah perlombongan, ladang penternakan yang mana kesemua jenis aset ini dapat menghasilkan barang dan servis. Ini juga merupakan sejenis pelaburan.

Aset kewangan secara umumnya adalah tuntutan pemilikan dalam aset fizikal seperti di atas atau pendapatan yang dihasilkan oleh aset-aset tersebut. Menerusi pemilikan dalam aset kewangan anda tidak perlu menguruskan aset-aset fizikal tersebut namun anda dapat memilikinya secara tidak langsung.

Berapakah modal untuk ada aset-aset untuk menghasilkan produk tenusu yang meluas seperti Farm Fresh Berhad? Saya tengok dalam penyata kewangan mereka modal minimum sekurang-kurangnya 500 juta ringgit. Namun, melalui aset kewangan, anda dapat menjadi pemegang saham bermula dengan modal yang sangat rendah iaitu pada sekitar harga 150-200 ringgit sahaja.

Walaupun anda tidak mampu memiliki ladang lembu, namun dengan membeli saham Farm Fresh yang dijual di Bursa Malaysia maka anda mempunyai tuntutan pemilikan terhadap aset syarikat dan juga pendapatan yang dihasilkan dengan menjual produk berkaitan tenusu. Walaupun anda tidak perlu tengok lembu dan jual susu tetapi jika syarikat buat untung dan umum dividen, anda dapat menikmati keuntungan yang dibuat syarikat.

Terpulanglah kepada anda untuk melabur dalam jenis aset yang mana satu.

Mereka yang memilih untuk memiliki ladang lembu adalah seorang usahawan. Mula-mula anda masih mampu gunakan duit sendiri tetapi sampai satu masa duit anda habis dan perlu kepada modal pelabur luar. Pada ketika itu anda perlu menjual saham syarikat ladang lembu anda atau pun perlu dapatkan modal secara hutang (dan ladang lembu pun perlu dicagarkan).

Mereka yang memilih untuk mempunyai tuntutan pemilikan terhadap syarikat usahawan lembu adalah seorang pelabur. Pelabur memberi modal kepada perniagaan. Kejayaan usahawan lembu adalah kunci kepada kekayaan anda. 

Dalam nota-nota pelaburan yang saya sediakan ini topiknya adalah tentang melabur dalam aset-aset kewangan.