3 Perkara Yang Pembeli & Pelabur Hartanah Selalu Terlepas Pandang

“Tuan, saya dan suami ada 3 buah rumah. Atas geran semuanya atas nama kami berdua. Loan pula ada yang joint-loan dan ada yang tidak,” Puan W memulakan bicara.

“Baik, apa yang saya dapat bantu Puan dalam hal ini?” Saya pun bertanya.

“Saya nak rumah-rumah itu hanya diwariskan kepada saya dan anak-anak saya tetapi tidak kepada keluarga mertua jika ditakdirkan suami saya meninggal dunia,” Puan W menerangkan.

“Suami Puan pula bagaimana?” Saya terus bertanya.

“Suami pun mahu rumah-rumah itu dapat kepada kami anak beranak sahaja,” jawab Puan W.

“Ok. Puan dah tahu siapa waris yang berhak mengikut faraid dan berapa nilai bahagian mereka?” Saya meneruskan pertanyaan.

“Yang saya ingat, isteri dapat yang paling sedikit. Untuk yang lain tak berapa ingat berapa bahagiannya tapi ada untuk mertua, anak lelaki, anak perempuan, kan tuan?” Puan W menjawab dalam keadaan teragak-agak.

Saya pun mengeluarkan helaian yellow pad dan berkata, “Ini maksudnya Puan dan suami belum ada profil faraid. Begini …”

Untuk stori lanjut, sila teruskan membaca.

#1 Tak Tahu Dengan Tepat Sekiranya Meninggal Dunia Nanti Rumah Itu Milik Siapa

Kita kena tahu siapa waris-waris kita.

Senarai waris kita memang ramai.

Seterusnya dari kalangan waris-waris itu, kena tahu siapa yang sebenarnya berhak kepada harta yang kita ada.

Ya.

Bukan semua waris kita berhak terhadap harta kita selepas kita meninggal dunia nanti. Tapi bukan kita suami-isteri dan anak-anak sahaja yang berhak. Mungkin ada waris lain juga.
.

“… Puan, apabila seseorang itu meninggal dunia, ada 5 orang waris sahaja yang kita kena tengok dahulu. Emak, ayah, pasangan, anak perempuan dan anak lelaki,” saya pun memulakan penerangan.

“Emak mertua?” Puan W pantas bertanyakan soalan.

“Emak mertua Puan adalah emak suami Puan. Jadi apabila suami Puan meninggal dunia dan emak mertua masih ada, ya, sebagai emak dia ada bahagian 1/6,”

Puan W senyap seketika. Kemudian dia berkata,”Tapi ada rumah itu saya yang bayar sepenuhnya tiap bulan,”

Maka saya pun sambung penerangan.

“Saya kena tengok geran dulu. Dari geran baru saya dapat jawab. Setakat ini apa yang kena tahu, sekiranya Puan yang meninggal dunia, emak Puan ada bahagian, kalau dia masih ada. Manakala mak mertua tidak dapat apa-apa dari Puan. Tetapi dia ada bahagian dari harta anak dia iaitu suami Puan.” 

#2 Tak Ambil Takaful Rumah Secukupnya  Menyebabkan Kalau Meninggal Dunia Nanti Masih Ada Hutang Rumah

“Puan, boleh saya tengok dokumen pembiayaan & dokumen insurans rumah?” saya meminta dokumen kepada Puan F.

Puan F pun menyerahkan satu folder tebal yang mengandungi pelbagai dokumen jual beli rumah.

“Dari dokumen ni saya tengok rumah ni underinsured,” saya menerangkan sambil membelek-belek dokumen yang ada.

“Underinsured tu apa ya?” Puan F bertanya.

“Kejap saya kira ya Puan,” saya pun membuat kiraan berdasarkan dokumen yang diberikan. Selesai kiraan saya pun memberitahu Puan F.

“Selepas tahun ke 23, rumah ni tidak lagi ada apa-apa insurans yang lindung. Hutang dijangka berbaki dalam RM190 ribu lagi waktu tu. Jadi kalau meninggal dunia, hutangnya masih perlu dibayar oleh Puan melalui waris atau pentadbir,”

“Dah ada insurans apa nama, MRTT kan, haa, masih tak cukup?” Puan F mempersoalkan semula.

“Memang ada Puan tapi tak cukup, ini semua dari dokumen yang Puan beri tadi,” saya menerangkan sambil menunjukkan perbezaan yang wujud dalam dokumen berkaitan.

#3 Salah Guna Alat Untuk Exit Strategy

“Tapi Pakdi, rumah-rumah tu memang untuk kami berdua. Sebab tu kami beli joint-name atas geran supaya apa-apa jadi, kami saling mewarisi,” kata Encik K.

“Objektif tu boleh dicapai. Cuma kalau tak buat apa-apa, maka objektif tu takkan tercapai dengan sekadar bercakap berdua sahaja semasa hidup. Kena didokumenkan dengan baik atau kita terus strukturkan portfolio hartanah tu dengan cara yang lain,” saya memberitahu Encik K.

“Jadi kalau kami biar aje, buat bodoh, kedekut tak mahu buat apa-apa, jadi kalau salah seorang dari kami meninggal nanti takkan dapatlah rumah tu 100%?” Encik K ingin mendapatkan kepastian.

“Ya, untuk situasi tuan, sebagai suami akan dapat sama ada suku atau separuh sahaja dari bahagian isteri, mengikut faraid. Sebab faraid ini undang-undang harta orang dah mati. Tapi selagi hidup, kita dapat bagi kepada sesiapa yang kita suka sebab kita gunakan undang-undang orang hidup tuan,” jawab saya.

Encik K merenung gambar rajah yang saya conteng-conteng atas yellow pad. Senyap dan berfikir panjang.

“Apa pilihan Tuan?” saya cuba memecahkan kebuntuan Encik K.

Harta Suami = Harta Isteri?

Harta suami tidak secara automatik menjadi harta isteri. Dan sebaliknya.

Ini kerana dalam Islam ada undang-undangnya yang tersendiri dalam urusan harta selepas kematian seseorang. Jadi sekiranya tuan-puan merupakan…

  1. Pasangan suami-isteri yang beli rumah secara joint-name atau membina portfolio pelaburan hartanah bersama-sama.
  2. Pasangan suami isteri yang tidak mempunyai cahaya mata.
  3. Mereka yang ada mengambil anak angkat.
  4. Pasangan suami-isteri yang tidak mempunyai anak lelaki.
  5. Individu yang ‘single’ tetapi telah pun memiliki sejumlah aset yang nilainya melebihi RM600 ribu.

Maka kalian ialah antara mereka yang berada dalam zon merah estate planning.

Zon Merah Estate Planning

Selagi mana masih bernafas, berita baiknya ialah kita dapat melakukan sesuatu untuk keluar dari zon merah ini.

Sekiranya sudah meninggal dunia, maka tidak banyak yang dapat dilakukan kerana undang-undang orang hidup berbeza dengan undang-undang orang mati.

Justeru selagi masih hidup, kita seharusnya sudah tahu …

  1. Bagaimana hutang dapat diselesaikan dengan sempurna oleh penama atau pentadbir selepas kita meninggal dunia ?
  2. Bagaimana suami-isteri dapat saling mewarisi 100% pemilikan rumah selepas salah seorang meninggal dunia tanpa melanggar hukum faraid?
  3. Bagaimana hendak mengekalkan portfolio hartanah yang telah dibina bersama suami-isteri supaya ia dapat kekal ke anak cucu?
  4. Apakah pilihan yang ada untuk ibu bapa angkat untuk mewariskan harta kepada anak angkat mereka?
  5. Apakah persediaan terbaik untuk orang ‘single’ yang telah pun memiliki sejumlah harta?

Kesemua ini kita dapat urus semasa hidup dengan menyediakan dokumentasi tertentu mengikut undang-undang supaya akhirnya kita dapat memastikan hartanah yang kita dapat diberi mengikut hasrat dan objektif pelaburan yang dibuat.

Ketahui bagaimana suami-isteri dapat saling mewarisi harta 100% dan pada masa yang sama tidak melanggar hukum faraid. Pertanyaan sila hubungi 0126979982 atau klik: wasap.my/60126979982/zonmerah