Kita Ingat Kewangan Kita Dah OK … Rupanya..!

4 Perkara Yang Ramai Tak Buat Tetapi Sebenarnya Sangat Penting

Oleh: Suzardi Maulan, IFP

“Betul ke kalau ikut faraid nanti bila suami meninggal dunia dan meninggalkan rumah, isteri TAK dapat rumah itu 100% secara automatik?” Puan H bertanya kepada saya.

“Betul Puan,” saya menjawab pendek.

“Takkan lah macam tu,” Puan H merungut.

“Puan, nak macam mana?” Saya cuba mendapatkan kepastian.
.

Nak tahu stori penuh? Teruskan membaca.

#1 Tak Lantik Sesiapa Untuk Selesaikan Hutang Selepas Mati

Satu hari ketika Nabi Muhammad (berselawatlah kita) sedang bersama para Sahabat maka ada jenazah dibawa kepada mereka.

Baginda diminta untuk menjadi imam untuk solat jenazah. Lantas Rasulullah (berselawatlah kita) bertanya, “Adakah si mati dalam keadaan berhutang?”

Sahabat menjawab, “3 dinar.”

“Kalian dirikanlah solat jenazah untuk rakan kalian,” Rasulullah (berselawatlah kita) tidak mahu menjadi imam solat jenazah apabila tahu si mati dalam keadaan berhutang.

Kemudian sahabat bernama Abu Qatadah pun berkata,”Wahai Rasulullah, saya akan bertanggungjawab menguruskan hutang si mati.”

Mendengarkan jaminan Abu Qatadah, maka Rasulullah (berselawatlah kita) pun menjadi imam solat jenazah atas si mati tadi.
.

Begitulah Islam ajar tentang betapa beratnya tanggungjawab melangsaikan hutang. Sampai sudah mati pun masih wajib bayar hutang hingga selesai.

Maka ada tiga (3) soalan yang perlu dijawab:

(1) Siapa yang kita mahu melaksanakan amanah untuk bantu selesaikan urusan hutang piutang selepas mati?

(2) Adakah dia mampu untuk melaksanakan tugas tersebut?

(3) Adakah dia bersetuju dengan perlantikan itu?

#2 Tak Sediakan Duit Untuk Bayar Hutang Selepas Mati

Bayar hutang dulu atau bahagi harta dulu?

Jawapannya ialah kena bayar hutang dulu. Sama ada hutang ibadah seperti ada tertinggal puasa, belum menunaikan haji atau pun hutang duit sesama manusia.

Hutang-hutang itu dibayar dengan harta yang kita ada. Boleh jadi pakai duit KWSP. Duit dalam Tabung Haji. Duit dalam ASB. Duit takaful. Duit dalam bank. Saham. Tanah. Rumah. Kilang. Dan seterusnya.

Bakinya barulah dibahagikan.

Bukannya pakai duit waris. Atau pakai duit orang kita lantik untuk selesaikan hutang lepas mati. Kalau waris nak tolong langsaikan pakai duit dia sendiri, alhamdulillah.

Itu cerita kalau … dan waktu itu kita sudah pun berada di dalam tanah.

#3 Tak Lantik Sesiapa Untuk Menguruskan Pengagihan Harta

Ini pun kita kena lantik.

Supaya waris-waris yang ditinggalkan tidak saling “menolak-nolak”.

+ Angah lah pergi pejabat pusaka, along sibuklah dengan kerja, along bukan ada masa!

+ Habis along ingat, along sorang je ada kerja pejabat? Angah pun berlambak lagi kerja kat pejabat tu kena diselesaikan.

Atau mungkin … (minta dijauhkan)

+ Aku taknak engkau yang uruskan tanah ni. Nanti kau bolot semua harta emak!

+ Bapak dulu dah beritahu aku rumah ni aku punya tau. Korang jangan pandai-pandai nak tuntut.

+ Tanah yang mak duduk tu sebenarnya pakcik punya nama, mak kau menumpang je.

Mungkin barangkali yang lebih tepat adalah …

+ Eh peninglah. Nak ke mana dulu ni, Amanah Raya ke, pejabat pusaka ke, mahkamah ke?

Kita sendiri dan waris kita pun tak tahu apakah yang patut dibuat selepas seseorang itu meninggal dunia. Sebab tidak ada pengetahuan (dan pengalaman) tentang perkara tersebut.

Ini kerana undang-undang orang hidup berbeza dengan undang-undang orang yang dah mati.

Semasa hidup, kalau kita nak keluarkan duit Tabung Haji misalnya, kita dapat pergi ke mana-mana cawangan Tabung Haji. Tapi lepas mati, waris kita tak boleh senang-senang keluarkan duit Tabung Haji walaupun dia tunjuk surat beranak!

Dah duit dalam Tabung Haji tak boleh nak dikeluarkan lagi, bila pula boleh bayar hutang ?

#4 Tak Tahu Siapa Waris Yang Berhak Dengan Tepat

Dalam situasi Puan H yang saya ceritakan awal tadi apa yang berlaku ialah Puan H dan suami telah pun membuat satu portfolio pelaburan persaraan bersama berasaskan pelaburan hartanah.

Tetapi mereka membuat pelan pelaburan tersebut tanpa mengambil tahu dahulu dengan tepat siapakah ahli waris mereka yang sah. Mereka menganggap suami dan isteri dapat saling mewarisi portoflio pelaburan tersebut dengan mudah. Realitinya tidak begitu.

“Saya naklah rumah-rumah tu kalau suami meninggal dunia dahulu, dan sebaliknya kalau saya meninggal dunia dulu,” Puan H memberitahu hasrat di hati.

“Baik puan. Sebelum tu apa-apa pun kita kena tahu sedikit sebanyak pasal faraid dulu,” saya pun menarik nafas panjang dan mengeluarkan yellow pad untuk conteng-conteng nak memudahkan penerangan.

“Ok,” jawabnya pendek.

“Isteri cuma mendapat bahagian 12.5% jika ada anak, atau 25% jika tiada anak, dari keseluruhan nilai harta suami,” saya menerangkan kepada Puan H sambil melakarkan carta waris.

Saya ambil masa beberapa detik sebelum menyambung penjelasan, “Itu  sekiranya suami puan meninggal dunia dahulu DAN tak buat sebarang dokumen pembahagian harta yang sah semasa masih hidup.”

“Kalau isteri meninggal dunia pula, suami dapat berapa?” Puan H kemudiannya bertanya.

Saya pun menerangkan, “Kalau ada anak 25%, kalau tidak ada anak 50% puan,”

“Kalau rumah joint-loan pula?” Soalan Puan H seterusnya.

“Joint-name atau joint-loan? Ada beza tu.” Saya ingin mendapatkan kepastian.

“Oh, ada beza. Apa bezanya ya?” Banyak betul persoalan Puan H dalam topik ini.

“Joint-name ini bermaksud pemilikan bersama yang dinyatakan dalam geran. Kalau dua nama, kebiasaannya 50% bahagian suami, 50% bahagian isteri. Jadi, suami dapat sama ada suku (25%) atau separuh (50%) dari bahagian isteri,” Saya pun terus membuat lakaran di atas kertas seterusnya menyambung keterangan.

“Isteri pula dapat sama ada 12.5% atau 25% dari bahagian suami. Setakat ini Puan ok?” Saya ingin mendapatkan kepastian sebelum terus berkata-kata.

Puan H mengangguk perlahan.

“Joint-loan pula merujuk kepada pembiayaan yang dibuat bersama. Katakan suami meninggal dunia, maka kita tengok berapa jumlah MRTT yang diambil oleh suami. Kalau MRTT cukup nak bayar baki hutang, Puan tak perlu bayar lagi. Tapi kalau MRTT underinsured, tak cukup, Puan perlu terus bayar hutang tadi walaupun suami dah meninggal dunia,”

“Aduh, kenapa saya tak tahu sebelum ni?” Puan H kelihatan kesal sambil melihat lakaran yang saya buat.

“Saya faham, sebab itu kita kena buat sesuatu sementara masih hidup. Setiap sesuatu itu ada jalan keluarnya, cuma dalam kes Puan ini jalannya lebih panjang,” saya menerangkan lagi.

Puan H senyap. Barangkali pelbagai perkara yang sedang berlegar-legar dalam kepalanya.

“Sekarang ini apa yang Puan mahu? Sekiranya hasrat Puan berbeza dengan cara pembahagian faraid maka hasrat tersebut mesti didokumenkan dengan jelas semasa masih hidup,” saya cuba menunjukkan jalan keluar kepada Puan H.

“Saya dan suami masih boleh dapat rumah-rumah tu bila salah seorang meninggal nanti?” Puan H meminta semula kepastian.

“Sekiranya semuanya distrukturkan dengan baik beserta dokumen yang sah semasa masih hidup, boleh,” saya menjawab.

“Macam mana tu?” Muka Puan H kelihatan ceria semula.

“Begini puan, saya perlukan banyak dokumen dari puan. Lepas saya baca semua dokumen-dokumen macam sales and purchase agreement, financing agreement, polisi takaful baru saya dapat beritahu dengan tepat apa yang Puan boleh buat,” saya memberitahu langkah pertama untuk mendapatkan customized financial solutions.

Saya tak bawa dokumen-dokumen tu sekarang, tapi ini berita baik untuk saya. Kalau appointment akan datang saya bawa semua dokumen tu boleh tak?” Puan H berkata sambil tersenyum lebar.

“Boleh, tidak ada masalah Puan,” saya pun menjawab sambil membelek kalendar untuk mencari tarikh appointment seterusnya.
.

Inilah 4 perkara yang ramai orang lupa, tak nampak atau mungkin apa yang disebut sebagai “titik buta” (blindspot). Berdasarkan pengalaman saya sebagai trainer dalam Islamic financial planning dan juga seorang licensed financial planner.

Suzardi Maulan ialah seorang Islamic Financial Planner (IFP) dan juga licensed financial planner. Sekiranya perlukan konsultansi lanjut tentang perkara ini, sila hubungi melaui aplikasi whatsapp, klik: wasap.my/60126979982/blindspot