Nota Kewangan Untuk Pesara

“Pakdi, boleh tak jumpa father I?” Cik Puan A bertanyakan kepada saya.

“Your father? Kenapa pula?” Saya bertanya semula kepada Cik Puan A.

“Sejak bersara ni dia ada cash. Dia asyik tanya I nak buat apa dengan duit dia ada tu. Mana I reti nak advice apa,” kata Cik Puan A.

“Orang akaun boleh je advice kan. Tak payah lah cari financial planner,” saya berseloroh.

“Saja la tu… Akauntan ni reti jaga duit syarikat je. Duit sendiri pun tak terjaga. Boleh lah kan you datang rumah nanti jumpa my father,” terang Cik Puan A sambil tersengih.

“Boleh… nanti beritahu tarikh yang father you ok,” saya pun mengiyakan permintaan Cik Puan A.

#1 Duit Makan Setiap Bulan Dari Mana?

Usia persaraan adalah saat di mana seseorang itu menuai hasil dari kebun yang diusahakan selama ini.

“Kebun” itu ialah duit pelaburan untuk persaraan. Manakala, “buah” itulah yang digunakan untuk makan.

Bagi pesara kerajaan “kebun” itu diuruskan oleh kerajaan melalui Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) juga dikenali sebagai KWAP.

Manakala bagi pesara sektor swasta pula “kebun” itu diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mana selepas mencapai usia 50 tahun “kebun” tadi telah boleh dijual dan bukan sekadar boleh merasa “hasil”.

Berbanding skim sektor swasta, skim persaraan kerajaan bersifat manfaat tetap. Ini bermaksud pesara kerajaan kurang pening kepala kerana “hasil” dapat dimanfaatkan sampai akhir hayat, cuma sama ada hasil itu cukup atau tidak cukup sahaja setiap bulan.

Jadi, mereka yang ada “kebun” sendiri, kena jaga kebun itu baik-baik dan jangan dijual kerana itulah sumber utama untuk makan tiap bulan.

#2 Duit Keperluan Kesihatan

Memang ada syarikat takaful yang masih membenarkan penyertaan takaful menjelang usia 60 tahun tetapi kemasukannya adalah lebih ketat berbanding orang muda. Jumlah sumbangan pun adalah tinggi.

Jadi adalah amat penting untuk para pesara tahu sekiranya jatuh sakit, bagaimanakah untuk menampung perbelanjaan kesihatan tersebut.

Maka antara perkara yang perlu dilakukan sebelum usia persaraan adalah menilai balik polisi-polisi takaful yang telah dilanggan. Perkara yang perlu kita tahu adalah tempoh perlindungan yang kita ambil sehingga usia berapa tahun?

Rakyat Malaysia dijangka dapat hidup antara usia 72.5 tahun (lelaki) sehingga 77.4 tahun (perempuan).

#3 Siapa Akan Urus Bayar Hutang & Buat Agihan Harta Pusaka

Usia persaraan adalah 60 tahun.

Berdasarkan jangkaan hayat penduduk Malaysia, bagi lelaki maka ada lebih kurang 13 tahun dan wanita adalah 17 tahun untuk terus hidup selepas pencen.

Dalam erti kata lain, mengikut secara alami maka usia 60 tahun ini sudah hampir dengan kematian. Walaupun begitu, kematian ini tidak mengenal usia.

Jadi semua orang harus bersedia menghadapi mati. Antara cara untuk menghadapi mati ialah:

  1. Tahu siapa yang bayarkan hutang selepas mati
  2. Tahu siapa yang akan uruskan pembahagian harta selepas mati

Maka kita perlu tahu apakah yang dimaksudkan dengan penama, benefisiari, pentadbir atau wasi serta alat-alat untuk pembahagian harta seperti surat wasiat, hibah, wakaf dan seterusnya.

Barangkali ada di antara kita yang berhasrat untuk membuat amal jariah yang berkekalan sampai ke hari akhirat, tetapi surat wasiat barangkali bukan alat yang sesuai untuk tujuan tersebut ini kerana wasiat ada syarat-syarat lain.

Semuanya berbalik kepada kita, sebagai pemilik harta. Selagi mana masih hidup maka ianya lebih mudah untuk diuruskan berbanding selepas berlaku kematian. Undang-undangnya sudah berbeza.

#4 Adakah Masih Perlu Melabur?

Sekiranya dilihat dari sudut lain, umur 60 tahun masih muda 20 tahun dari umur 80 tahun.

20 tahun pada zaman hari ini pun masih ramai yang sihat-sihat.

RM100 ribu dilaburkan dengan pulangan 5% pun masih dapat berkembang jadi RM265 ribu.

Jadi melabur pada usia persaraan masih boleh dilakukan. Cuma barangkali apa yang berbeza ialah melabur pada usia ini tidak seagresif zaman muda. Melainkan memang terlalu banyak simpanan persaraan. Kalau rugi 50% pun masih kaya raya dan tidak jatuh miskin.

Apa pun usia persaraan bukan penghalang untuk membuat pelaburan.

#5 Duit Melancong

Oleh kerana sudah bersara, maka inilah masa yang boleh dimanfaatkan untuk melihat negara orang.

Jika dulu barangkali percutiannya pasti perlu melihat workload kerja, tak boleh cuti dengan tenang 100%. Tapi selepas sudah pencen, apa lagi kerja yang perlu difikirkan?

Yang penting ada tabungannya.

#6 Jangan Tambah Hutang

Boleh melabur.
Boleh melancong.
Boleh berwakaf.

Tapi janganlah tambah hutang pada usia persaraan.

Hutang yang masih berbaki itu boleh lah mula selesaikan cepat-cepat sikit. Jika masih mahu terus bayar ikut jadual pastikan perkara #3 itu sudah diuruskan baik-baik.

#7 Nak Tinggalkan Sesuatu Yang Bermakna Untuk Keluarga?

Sekiranya ada sejumlah harta.

Begini. Saya beri contoh rumah.

Mungkin jenis setiap 3 tahun beli 1 rumah baru, maka selepas 30 tahun bekerja ada 10 rumah. Keseluruhan pendapatan sewa bersih rumah-rumah tersebut ialah RM 10ribu sebulan.

Adakah kita berhasrat untuk mewariskan portfolio hartanah tersebut kepada orang yang kita sayang atau ianya dibahagi-bahagikan ?

Dalam erti kata lain, portfolio hartanah itu kekal dalam keadaan sedia ada. Hasilnya sahaja dibahagikan. Atau, mahu setiap rumah itu turun nama kepada waris?

Apakah pilihan kita?
.

Suzardi Maulan ialah seorang Islamic Financial Planner (IFP) dan juga licensed financial planner. Sekiranya perlukan konsultansi lanjut tentang perkara ini, sila hubungi melaui aplikasi whatsapp, klik: http://wasap.my/60126979982/retiree