Jangan Ambil Mudah Tentang Penama

Penama adalah “kita yang hidup” selepas mati

Oleh: Suzardi Maulan, IFP.

Saya terkejut apabila ramai masih belum tahu perkara ini.

Penama vs penerima harta.
Nominee vs beneficiary.

Seperti penama dalam takaful, Tabung Haji, KWSP dan lain-lain harta.

Masih ramai yang menganggap penama itu adalah penerima harta. Itu adalah tidak tepat.

Penama itu cuma pemegang amanah sahaja. Bagi seorang Muslim, seorang penama masih bertanggungjawab menguruskan harta tersebut mengikut hukum Islam antaranya seperti melunaskan hutang, perlaksanaan wasiat dan membahagikan bakinya mengikut hukum faraid.

Wanita Suka Menamakan Anak & Ibu Bapa

Apabila ditanya dalam seminar, para suami rata-rata menamakan isteri sebagai penama.

Sebaliknya bagi para isteri, mereka cenderung menamakan anak ataupun ibu – bapa.

Baik untuk polisi takaful, Tabung Haji mahupun KWSP.

Berdasarkan maklumbalas yang diterima, seorang isteri lebih cenderung menamakan anak mereka sebagai penama takaful kerana mereka bimbang suami mereka akan gunakan pampasan yang diterima untuk kahwin lain seterusnya anak-anak terabai dari perkahwinan baru tersebut.

Hmm… satu andaian yang berasas!

Malangnya menamakan anak atau ibu-bapa pun tidak semestinya satu langkah yang baik. Kenapa? Teruskan membaca.

Penama Adalah Pentadbir atau Pemegang Amanah Sahaja

Saya gunakan takaful sebagai contoh.

Apabila seseorang itu meninggal dunia maka berikut adalah perkara-perkara yang perlu dilaksanakan oleh “penama” bagi pihak si mati:

  1. Bayar kos pengebumian.
  2. Bayar hutang ibadah.
  3. Bayar hutang harta.
  4. Penyelesaian harta sepencarian, hibah dan harta amanah.
  5. Perlaksanaan wasiat.
  6. Pembahagian secara faraid.

Saya masih ingat lagi itulah antara yang dibuat oleh almarhumah emak saya pada tahun 1991 dahulu semasa menguruskan harta peninggalan almarhum bapa saya.

Saya cuma berusia 8 tahun ketika itu masih tergambar dalam ingatan saya kami perlu turun naik bas, menaiki teksi ke pejabat-pejabat tertentu di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk urusan-urusan tersebut.

Saya bukan penama. Penamanya adalah almarhumah emak saya. Saya cuma dibawa sebagai peneman sahaja. Iyalah, kalau nak tinggal di rumah pun saya nak tinggal dengan siapa ? Mahu tak mahu kena lah bawa juga!

Apa yang saya mahu kongsikan ialah penama adalah mereka yang ada masa dan ada kemampuan untuk melaksanakan tugas bagi pihak si mati.

Dalam erti kata lain, penama adalah wakil si mati untuk bercakap dengan pihak-pihak tertentu di atas muka bumi ini di saat si mati telah pun berada di dalam bumi.

Siapakah Yang Patut Jadi Penama?

Kita patut menamakan mereka yang memang mampu melaksanakan amanah bagi melakukan 6 perkara yang saya sebutkan tadi.

Lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan hutang yang wajib dibayar selepas mati.

Tidak mengapa kalau tidak mahu menamakan suami sekali pun. Tetapi adakah anak bawah umur 18 tahun boleh melaksanakan amanah tersebut ? Sudah tentu tidak boleh.

Bagaimana pula dengan anak yang telah besar panjang, dah berumur lebih dari 18 tahun ? Beginilah, anak yang besar panjang yang baru habis belajar tadi siapa yang masih basuhkan seluar dalam mereka ? Dan kita mengharapkan anak yang masih tak mahu ambil tanggungjawab mudah itu untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar seperti turun naik pejabat pusaka ?

“Ibu bapa saya dapat bantu,”

Berapa umur ibu – bapa kita ? Umur 70 tahun ? Dan kita masih mahu “suruh” mereka ke sana ke mari selepas kita meninggal dunia ?

Begitulah pertimbangan yang perlu kita fikirkan apabila mahu membuat nomination dalam apa-apa perkara berkaitan.

Hibah Takaful Kan Ada …

Hibah takaful berbeza dengan nomination.

Yang dinamakan itu adalah penerima (benefisiari) dan bukannya pemegang amanah.

Misalnya, suami “hibahkan” isteri RM 200 ribu melalui takaful.

Menurut Islamic Financial Services Act 2013, selepas berlaku kematian, maka isteri mendapat manfaat takaful tersebut dan tidak menjadi harta pusaka.

Malangnya suami mempunyai hutang RM 250 ribu dengan kawan.

Hutang wajib dibayar. Pampasan takaful tadi pula telah diterima isteri. Adakah isteri mahu bayarkan juga hutang suami dengan duit hibah takaful yang diterima?

Entah. Mungkin isteri mahu bayarkan. Mungkin dah habis dibelanjakan. Atau mungkin isteri tak tahu pun suami ada hutang dengan kawan tersebut!

Maka sebelum buat sebarang hibah takaful, si suami tadi patut dah fikir molek bagaimana untuk bayar hutang RM 250 ribu tersebut kalau dia mati tanpa perlu menyusahkan waris. Bayar hutang sampai habis tetap menjadi tanggungjawab kita walaupun selepas dah mati!

Isteri Bukan Tukang Bayar Hutang Secara Automatik

Selain isteri ada lagi waris-waris lain yang ada.

Begitu juga kalau kita membuat penamaan yang berbeza-beza. Misalnya KWSP letak nama ayah, Tabung Haji letak nama kakak, takaful sahaja letak nama isteri.

Kenapa isteri seorang sahaja yang dipertanggungjawabkan nak bayar hutang suami sedangkan:

  1. Suami rahsiakan banyak perkara dari isteri sepanjang hidup, kawan lagi tahu banyak benda.
  2. Isteri cuma ada bahagian 1/8 atau 1/4 sahaja mengikut hukum faraid dan bukannya 100% harta suami menjadi harta isteri.

Abdul Wahab dan Abdul Wahib di mana ? Bab tuntut harta mereka cepat, bab bayarkan hutang … eh, itu tugas isteri ?
.

Ya, begitu juga halnya bagi seorang suami. Suami juga tidak secara automatik jadi orang yang patut bayarkan hutang isteri tau.
.

Sekiranya tuan-puan dapat membaca nota ini sampai habis, maka ambil masa sebaiknya untuk menilai kembali siapakah yang kita lantik sebagai penama.

Urusan hutang selepas kematian adalah satu perkara yang berat.

Mengambil pengajaran kisah Nabi Musa dalam surah al-Qasas ayat 26. Lantik lah mereka yang qawiy dan amin. Iaitu mereka yang mampu dan amanah untuk menjadi “kita yang hidup” selepas kita mati.

Suzardi Maulan ialah seorang Islamic Financial Planner (IFP) dan juga licensed financial planner.