5 Benda Orang Tanya Pasal Penama Waris Di Seminar Saya

Penama adalah “kita yang hidup” selepas mati

Oleh: Suzardi Maulan, IFP.

Dalam seminar, saya suka bertanyakan kepada peserta soalan seperti ini.

“Tuan puan, siapakah penama untuk polisi takaful, Tabung Haji, KWSP dan harta-harta masing-masing?”

“Ok, siapa namakan isteri dia sebagai penama?”

+ Ramai suami angkat tangan, rata-rata nak beritahu dia sayang sungguh dengan isteri sebab itu menamakan isteri sebagai penama.

“Seterusnya, siapa namakan suami dia sebagai penama juga?”

+ Sangat sikit yang angkat tangan. Boleh dibilang.

“Aik, kalau bukan suami siapa?” Saya mahu tahu.

Anak…!
Anak…!
Anak…!
Emak…!

Bersahutan suara. Saya tanya lagi, “Kenapa bukan suami?”

Ada yang menjawab dari jauh, “Nanti suami kahwin lagi encik…!”
.

Saya terkejut apabila masih ramai yang belum tahu perkara ini.

Penama vs penerima harta.
Nominee vs beneficiary.

Seperti penama dalam takaful, Tabung Haji, KWSP dan lain-lain harta.

Apabila tidak tahu perbezaan tentang 2 perkara tersebut – perbezaan antara penama (nominee) dan penerima harta (beneficiary) maka macam-macam kesilapan dapat berlaku.

#1 Saya Tak Mahu Suami Kahwin Lagi, Sebab Tu Saya Letak Nama Anak

Nampaknya ada di kalangan mereka bimbang suami mereka akan gunakan harta-harta isteri yang diterima untuk kahwin lain seterusnya anak-anak terabai dari perkahwinan baru tersebut.

Hmm… satu andaian yang berasas!

Malangnya menamakan anak dengan niat sedemikian tidak semestinya satu langkah yang baik.

Ini kerana penama bukan penerima harta. Penama itu cuma pemegang amanah sahaja.

Bagi seorang Muslim, seorang penama masih bertanggungjawab menguruskan harta tersebut mengikut hukum Islam antaranya seperti melunaskan hutang, perlaksanaan wasiat dan membahagikan bakinya mengikut hukum faraid.

Saya gunakan takaful sebagai contoh.

Apabila seseorang itu meninggal dunia maka berikut adalah perkara-perkara yang perlu dilaksanakan oleh “penama” bagi pihak si mati:

  1. Bayar kos pengebumian.
  2. Bayar hutang ibadah.
  3. Bayar hutang harta.
  4. Penyelesaian harta sepencarian, hibah dan harta amanah.
  5. Perlaksanaan wasiat.
  6. Pembahagian secara faraid.

Penama Adalah Pentadbir atau Pemegang Amanah Sahaja

Saya masih ingat lagi itulah antara yang dibuat oleh almarhumah emak saya pada tahun 1991 dahulu semasa menguruskan harta peninggalan almarhum bapa saya.

Saya cuma berusia 8 tahun ketika itu masih tergambar dalam ingatan saya kami perlu turun naik bas, menaiki teksi ke pejabat-pejabat tertentu di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk urusan-urusan tersebut.

Saya bukan penama. Penamanya adalah almarhumah emak saya. Saya cuma dibawa sebagai peneman sahaja. Iyalah, kalau nak tinggal di rumah pun saya nak tinggal dengan siapa ? Mahu tak mahu kena lah bawa juga!

Apa yang saya mahu kongsikan ialah penama adalah mereka yang ada masa dan ada kemampuan untuk melaksanakan tugas bagi pihak si mati.

Dalam erti kata lain, penama adalah wakil si mati untuk bercakap dengan pihak-pihak tertentu di atas muka bumi ini di saat si mati telah pun berada di dalam bumi.

Kita patut menamakan mereka yang memang mampu melaksanakan amanah bagi melakukan 6 perkara yang saya sebutkan tadi.

Lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan hutang yang wajib dibayar selepas mati.

Tidak mengapa kalau nak menamakan anak sekalipun. Tetapi janganlah letak nama anak bawah umur 18 tahun. Bolehkah dia nanti melaksanakan amanah tersebut ? Sudah tentu tidak boleh.

Bagaimana pula dengan anak yang telah besar panjang, dah berumur lebih dari 18 tahun ? Beginilah, anak yang besar panjang yang baru habis belajar tadi siapa yang masih basuhkan seluar dalam mereka ?

Dan kita mengharapkan anak yang masih tak mahu ambil tanggungjawab mudah itu untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar seperti turun naik pejabat pusaka ?

#2 Saya Tak Namakan Anak, Tetapi Emak / Ayah Saya, Okay Kan ?

“Kalau macam itu patut ke kita namakan emak atau ayah?” Tanya peserta yang lain.

“Sekarang Puan umur berapa tahun?” Saya bertanya balik.

40 tahun,” peserta itu menjawab semula.

“Kalau 40 tahun, saya agak-agak umur emak ayah Puan mesti antara 65 – 70 tahun, atau mungkin lebih tua dari itu?” Saya cuba mendapatkan kepastian.

“Lebih kuranglah encik,” peserta tadi mengangguk-angguk setuju.

“Pada umur sebegitu Puan masih mahu suruh mereka turun naik pejabat Tabung Haji, KWSP dan semua tu?” Saya bertanya semula.

Peserta tadi terdiam.

Begitulah pertimbangan yang perlu kita fikirkan apabila mahu membuat nomination dalam apa-apa perkara berkaitan.

#3 Kalau Macam Itu Saya Buat Hibah Takaful, Ok Tak ?

Hibah takaful berbeza dengan nomination.

Yang dinamakan itu adalah penerima (benefisiari) dan bukannya pemegang amanah.

Misalnya, suami “hibahkan” isteri RM 200 ribu melalui takaful.

Menurut Islamic Financial Services Act 2013, selepas berlaku kematian, maka isteri mendapat manfaat takaful tersebut dan tidak menjadi harta pusaka.

Malangnya suami mempunyai hutang RM 250 ribu dengan kawan.

Hutang wajib dibayar. Pampasan takaful tadi pula telah diterima isteri. Adakah isteri mahu bayarkan juga hutang suami dengan duit hibah takaful yang diterima?

Entah.

Mungkin isteri mahu bayarkan. Mungkin dah habis dibelanjakan. Atau mungkin isteri tak tahu pun suami ada hutang dengan kawan tersebut!

Maka sebelum buat sebarang hibah takaful, si suami tadi patut dah fikir molek bagaimana untuk bayar hutang RM 250 ribu tersebut kalau dia mati tanpa perlu menyusahkan waris.

Bayar hutang sampai habis tetap menjadi tanggungjawab kita walaupun selepas dah mati!

#4 Suami Juga Bagus Kan, Sebab Kami Namakan Isteri. Dia Yang Tolong Bayarkan Hutang, Betul Tak Encik ?

Selain isteri ada lagi waris-waris lain yang ada.

Ayah dan emak adalah waris. Anak-anak juga waris. Adik beradik pun boleh jadi waris pusaka.

Siapa waris kita yang berhak mengikut hukum Islam kena kita ambil tahu dulu. Bukan semua benda isteri “secara automatik” kena buat macam tolong bayarkan hutang almarhum suami.

Lebih-lebih lagi kalau si suami membuat penamaan yang berbeza-beza. Misalnya KWSP letak nama ayah, Tabung Haji letak nama kakak, takaful sahaja letak nama isteri.

Kenapa isteri seorang sahaja yang dipertanggungjawabkan nak bayar hutang suami sedangkan:

  1. Suami rahsiakan banyak perkara dari isteri sepanjang hidup, kawan lagi tahu banyak benda.
  2. Isteri cuma ada bahagian 1/8 atau 1/4 sahaja mengikut hukum faraid dan bukannya 100% harta suami menjadi harta isteri.

Abdul Wahab dan Abdul Wahib di mana ? Bab tuntut harta mereka cepat, bab bayarkan hutang … eh, itu tugas isteri ?
.

Ya, begitu juga halnya bagi seorang suami. Suami juga tidak secara automatik jadi orang yang patut bayarkan hutang isteri tau.

#5 Jadi Siapa Yang Patut Jadi Penama?

Sekiranya tuan-puan dapat membaca nota ini sampai habis, maka ambil masa sebaiknya untuk menilai kembali siapakah yang kita lantik sebagai penama.

Semak dan ingat kembali satu persatu penama yang pernah kita buat. Jika tak ingat, hubungi semula. Insya-Allah institusi berkaitan dapat membantu tentang urusan nomination ini.

Saya ingatkan kembali antara perkara yang perlu diselesaikan selepas kematian seseorang.

  1. Bayar kos pengebumian.
  2. Bayar hutang ibadah.
  3. Bayar hutang harta.
  4. Penyelesaian harta sepencarian, hibah dan harta amanah.
  5. Perlaksanaan wasiat.
  6. Pembahagian secara faraid.

Urusan hutang selepas kematian khususnya adalah satu perkara yang berat.

Dalam hadis ada disebut perihal nabi kita, Nabi Muhammad (berselawatlah kita) tidak mahu jadi imam dalam solat jenazah kerana masih ada urusan hutang yang belum diselesaikan. Sehinggalah Abu Qatadah memberi jaminan untuk menyelesaikan urusan hutang si mati.

Mengambil pengajaran kisah Nabi Musa dalam surah al-Qasas ayat 26. Lantik lah mereka yang qawiy dan amin. Iaitu mereka yang mampu dan amanah untuk menjadi “kita yang hidup” selepas kita mati.

Suzardi Maulan ialah seorang fee-based financial advisor dan licensed financial planner. Sila klik link ini untuk baca profil beliau.